UMK Kuarantin Pelajar dari Sabah, Zon Merah (Sinar Harian)

KOTA BHARU – Universiti Malaysia Kelantan (UMK) mengambil langkah proaktif mencegah penularan pandemik koronavirus (Covid-19) dengan mengasingkan penempatan pelajar baharu yang datang dari zon merah termasuk Sabah bagi menjalani kuarantin selama 14 hari di universiti itu.

Naib Canselor UMK, Datuk Profesor Dr Noor Azizi Ismail berkata, pelajar dari zon merah dan Sabah antara yang tiba lebih awal dan setakat tengah hari tadi seramai 60 pelajar sudah melakukan pendaftaran sesi kemasukan 2020/2021 secara fizikal atau pandu lalu.

Menurutnya, pelajar ini antara yang berdepan masalah untuk pulang semula ke rumah atas pelbagai faktor sama ada kewangan atau jarak jauh menyebabkan universiti mengambil inisiatif menyediakan penempatan kuarantin di sebuah bangunan khas di blok kediaman asrama universiti itu.

“Pihak universiti akur dengan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) susulan peningkatan mendadak kes Covid-19 dan sehingga tengah hari ini sudah 65 peratus pelajar berdaftar secara dalam talian namun pada masa sama pengurusan turut menerima kemasukan penuntut yang tiba lebih awal dari Sabah serta Serawak.

“Pelajar ada dua pilihan sama ada pulang atau tinggal di asrama sambil mematuhi prosedur operasi standard (SOP). Pelajar dari zon merah dan Sabah perlu menjalani kuarantin seorang sebilik selepas melakukan ujian swab oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya pada sidang akhbar di UMK Kampus Kota Pengkalan Chepa di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, sesi pembelajaran di universiti itu akan dijalankan sepenuhnya secara dalam talian dan diyakini lancar selepas migrasi sistem eCampus ke platform cloud server Ecampus 2.0 yang mampu menampung kapasiti 10,000 pengguna pada satu-satu masa.

“Pembelajaran dalam talian di UMK bermula pada tahun 2015 sehingga sekarang. Pensyarah mendapat bimbingan berterusan selain berpengalaman semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Mac lalu.

“Dari segi infrastruktur UMK meningkatkan jalur lebar internet daripada 1.1Gbps kepada 6.4 Gbps ke arah Teknologi Sistem Digital berdasarkan rangka kerja Intelligent Campus,” katanya.

Dalam perkembangan sama katanya, UMK juga melakar sejarah peribadi dengan catatan rekod 3,192 penuntut termasuk 150 dari Sabah yang bersetuju masuk ke universiti keusahawanan itu pada sesi kali ini.

“Jumlah itu adalah yang tertinggi dalam tempoh 14 tahun penubuhan biarpun negara diancam penularan Covid-19 ketika ini.

“Antara faktor UMK diterima ramai kerana rekod peningkatan 92 peratus kebolehpasaran graduan (GE) tahun lalu dan jumlah graduan berniaga yang dicapai berjumlah 12.97 peratus tertinggi antara keseluruhan institusi pengajian tinggi awam (IPTA),” katanya.

Leave a Reply