44 GRADUAN FAKULTI PERUBATAN VETERINAR DIUMUM AHLI IKHTISAS KEDOKTORAN VETERINAR MALAYSIA SECARA MAYA

BACHOK 30 November I Universiti Malaysia Kelantan (UMK) melalui Fakulti Perubatan Veterinar (FPV) menjadi universiti awam pertama menganjurkan Majlis Ikrar dan Pendaftaran Ikhtisas Kedoktoran Veterinar yang diadakan secara maya.Majlis yang berlangsung secara norma baharu itu diadakan menerusi platform persidangan video Google Meet yang disiarkan secara langsung di Facebook Rasmi UMK.
Pendekatan ini diambil susulan daripada pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) hampir di seluruh negara berkuatkuasa sejak 21 November hingga 6 Disember 2020 berikutan penularan pandemik COVID-19.
Pengisytiharan 44 graduan FPV UMK sebagai ahli Ikhtisas Kedoktoran Veterinar Malaysia telah diumumkan secara serentak oleh Pendaftar Majlis Veterinar Malaysia (MVM), Dr. Akma Ngah Hamid menerusi media sosial rasmi universiti di Pejabat Perpustakaan dan Pengurusan Ilmu, UMK Bachok, pada 30 November 2020.
Turut hadir, Naib Canselor UMK, Prof. Dato’ Ts. Dr. Noor Azizi Ismail, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Ts. Dr. Arham Abdullah, Dekan FPV, Prof. Dr. Mohd Azam Khan Goriman Khan dan Presiden MVM, Dato’ Dr. Norlizan Mohd Noor.
Pada amanat yang disampaikan oleh Dato’ Dr. Norlizan, beliau menyeru agar para veterinarwan menyumbang ke arah perkembangan perkhidmatan veterinar di dalam negara dan menabur khidmat bakti kepada masyarakat.
Katanya, mereka perlu menjaga kesihatan dan kebajikan haiwan, keselamatan makanan dan meningkatkan kesedaran orang awam mengenai penyakit zoonotik.
Sementara itu, Prof. Dato’ Ts. Dr. Noor Azizi, pada tahun ini FPV UMK berjaya melahirkan seramai 44 orang graduan dalam bidang Doktor Perubatan Veterinar.
Katanya, Majlis Ikrar dan Pendaftaran Ikhtisas Kedoktoran Veterinar yang ke-7 ini diadakan secara dalam talian adalah sebagai pelengkap ikhtisas kedoktoran para graduan Doktor Perubatan Veterinar (DPV), yang mana UMK merupakan universiti kedua yang menawarkan program DPV selepas Universiti Putra Malaysia (UPM).
“Sehingga tahun lepas, UMK telah mencatatkan seramai 224 orang graduan dengan ijazah Doktor Perubatan Veterinar.
“Tugas sebagai seorang Doktor Veterinar bukan sahaja bertanggungjawab merawat haiwan kesayangan tetapi turut menjalankan prosedur perubatan lain yang sama pentingnya tugas dan sumbangan doktor yang merawat manusia.
“Ia bukan sahaja bekerja di klinik atau hospital veterinar, bahkan juga membuat khidmat pengimejan dan diagnosis makmal, endoskopi, sonografi, pembedahan dan rawatan kanser berdasarkan kepada kes yang dikendalikan,” katanya.
Tambah beliau, selain perlu lulus dengan cemerlang dalam bidang akademik, mereka juga perlu mempunyai sahsiah diri yang tinggi mantap dari segi sahsiah serta kecergasan jasmani dan fizikal. Semua nilai-nilai ini telah diterapkan dalam pengajian mereka selama tempoh 5 tahun di FPV, UMK.
Menurut Prof. Dr. Mohd Azam Khan berkata, dengan berlangsungnya lafaz ikrar oleh 44 para graduan ini secara rasminya mereka berada di bawah naungan Majlis Veterinar Malaysia yang membolehkan mereka melaksanakan tugas sebagai seorang Doktor Veterinar yang bertanggungjawab, beretika, dan kompeten serta mempunyai ciri-ciri keusahawanan.
Katanya, peratus kebolehpasaran graduan FPV UMK menunjukkan hampir keseluruhan kohort ketujuh ini berjaya mendapat pekerjaan samada di sektor awam mahupun sektor swasta.
“Saya berbangga dengan kejayaan dan kesungguhan para veterinawan baru ini selepas melalui proses pembelajaran secara langsung dan tidak langsung dalam bidang perubatan veterinar selama lima tahun di Fakulti Perubatan Veterinar UMK.
“Berbekalkan ilmu pengetahuan, kemahiran dan pengalaman yang diperolehi, mereka akan menjadi seorang Doktor Veterinar yang berdaya saing dan akan mengharumkan nama FPV dan juga UMK. Saya juga yakin mereka akan memberikan perkhidmatan veterinar yang cemerlang dengan pendekatan “One Health”.
“Melalui pengisytiharan ini sebagai veterinawan baharu, para graduan dapat menceburi dunia kerjaya dan berkhidmat untuk komuniti setempat. Saya yakin mereka dapat memajukan diri dan berjaya dalam segala bidang perubatan veterinar yang diceburi,” katanya.

Leave a Reply

Idioms and phrases by theidioms.com