KARNIVAL PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN TONJOL INOVASI DAN KREATIVITI MAHASISWA UMK

 

 

PENGKALAN CHEPA I Syarikat usahawan siswa Herba Life Supplier Sdn Bhd (HLS) menang anugerah Best of The Best dengan menewaskan 39 idea perniagaan kumpulan lain sempena Seminar Keusahawanan Perdagangan bertemakan Meet And Greet Entrepreneurs:Ideate and Validateyang diadakan di Dewan Keusahawanan, UMK Kampus Kota, baru-baru ini.

Syarikat Herba Life Supplier Sdn Bhd turut dianugerahkan pingat emas dan anugerah Outstanding Teamwork Award.

Pada pertandingan itu, 39 idea projek syarikat usahawan siswa telah berjaya memenangi 17 anugerah emas dan 22 anugerah perak.

Menurut Ketua Kumpulan HLS Sdn Bhd, Akmal Najiha Fatima Ahmad Kamal, berkata, HLS adalah sebuah syarikat yang menyediakan adunan tumbuhan herba asli tanpa bahan pengawet kepada usahawan dan pengguna.

Beliau berkata, syarikat kami berkonsepkan kesihatan dan HLS Sdn Bhd bertindak sebagai pembekal yang bekerjasama dengan sebuah syarikat herba tempatan untuk mendapatkan stok herba mentah seperti tongkat ali, kacip fatimah dan ginseng bagi menghasilkan produk berasaskan bahan semula jadi.

“Kemudian, syarikat kami memperoses bahan mentah daripada hutan untuk diproses bagi memenuhi permintaan oleh usahawan atau syarikat-syarikat besar.

Syarikat HSL Sdn Bhd telah ditubuhkan pada 3 Mac 2019 oleh dua pelajar tahun tiga lulusan Sarjana Muda Keusahawanan (Perdagangan), Fakulti Keusahawanan dan Perniagaan (FKP) iaitu Akmal Najiha Fatima dan Aina Atiqah Bashri.

Pengarah Pusat Penyelidikan Keusahawanan dan Inovasi Global (GERIC), Prof. Dr. Raja Suzana Raja Kasim, berkata penganjuran karnival keusahawanan perdagangan adalah sempena Karnival Pengajaran dan Pembelajaran untuk memenuhi keperluan kursus pelajar tahun tiga FKP.

Katanya, program ini juga bagi mempromosikan siswa UMK menceburi bidang keusahawanan menerusi ilmupreneur dengan matlamat untuk mengasah bakat mahasiswa menjadi coach dan perunding dalam perniagaan di era Pendidikan 4.0 (IR4.0).

“Pada program itu turut berlangsung seminar keusahawanan untuk membawa satu pendekatan baharu kepada siswa UMK tentang validasi pasaran sebenar secara kreatif dan inovasi.

“Dua panel usahawan dijemput bagi berkongsi pengalaman dalam perkhidmatan profesional dan juga permentoran, perundingan dan penasihatan persyarikatan iaitu Coach Hj. Norlukmal Mat Ghani dari SPEED Office Sdn Bhd dan Coach Yusainy Yusof dari DSH Solution dan Tastebud Eatery & Services yang berkongsi pengalaman beliau mengenai pembentukan bakat usahawan di kalangan mahasiswa,” katanya.

Menurut Prof. Dr. Raja Suzana, seminar ini amat berkesan dan telah berjaya mendekatkan minat keusahawanan mahasiswa UMK kepada usaha-usaha menerokai perniagaan baharu.

Katanya, usahawan dan pendidikan keusahawanan akan bersama dalam Seminar Keusahawanan Perdagangan dan berkongsi pengalaman dalam meneroka perniagaan baharu kepada pelajar-pelajar.

Sementara itu, Prof. Dr. Raja Suzana berkata, Karnival Pengajaran dan Pembelajaran Kali Ketiga itu diteruskan di UMK Bachok yang diadakan di Laman Canseleri, UMK Bachok pada 21 Mei 2019.

Pada pertandingan itu, lima syarikat usahawan siswa memenangi lima anugerah emas, sembilan anugerah perak dan 29 anugerah gangsa yang dipertandingkan pada Seminar Keusahawanan Perdagangan 2019.

000
Read 178 times